Pada hari Isnin, 30 Mac 2009, satu sambutan Maulidur Rasul peringkat Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan telah diadakan. Sambutan ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam dan Moral dengan kerjasama Biro Agama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut ini.
Antara pengisian sepanjang sambutan ini ialah solat maghrib secara berjemaah diikuti dengan acara berzanji dan marhaban yang dipimpin oleh saudara Tuan Aufa bin Tuan Othman dari Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Agama Islam semester 1.
Sejurus sahaja usai solat isyak secara berjemaah, guru-guru pelatih berarak dari surau As-Syafie ke Dewan Darul Makmur sambil berselawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Acara kemuncak sambutan ini diteruskan dengan slot ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Ustaz Muhammad Idris bin Haji Derus dari SMK Seri Jengka, Pahang.
Beliau telah menceriakan sirah pembawa rahmat terbesar, Rasulullah S.A.W dengan penuh bersemangat dan sesekali diselitkan dengan unsur kecindan membuatkan semua hadirin mendengar dengan khusyuk dan memberikan sepenuh perhatian. Selesai slot ceramah, guru-guru pelatih dan para pensyarah serta tetamu jemputan menikmati sedikit jamuan yang telah disediakan.Majlis bersurai pada jam 11.30 malam. Sebelum sambutan ini juga telah diadakan pertandingan mencipta sepanduk dan kuiz sempena Maulidur Rasul dan hadiah disampaikan oleh Tuan Pengarah di Dewan Darul Makmur selepas slot ceramah berakhir.
Diharapkan dengan adanya sambutan ini dapat membentuk guru pelatih yang menjadikan nabi Muhammad S.A.W sebagai idola dan contoh ikutan terbaik serta menerapkan keperibadian akhlak baginda yang mulia dalam kehidupan seharian bagi merealisasikan Falsafah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan iaitu melahirkan guru yang berilmu, berakhlak dan beramal sesuai dengan Falsafah pendidikan Negara, berteraskan kecemerlangan untuk membangunkan insan dan Negara.
No comments:
Post a Comment