Apakah Maksud Khusyuk?
Khusyuk diibaratkan roh solat.
Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang
lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda,
“Jika
khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”
Berkata Imam
Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping
tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas
berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali
bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri
pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia
mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.”
Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu
Darda’. Beliau berkata,
“(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan
dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan
tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.”
Kesemua
pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas
fit Tafsir oleh Said Hawa.
Cara Untuk Khusyuk
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan
hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa
mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah
hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran
hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.”
Kehadiran
hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada
solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam
solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah
hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap
bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat
pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah
dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Hati adalah permulaan unutk khusyuk.
Sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
“Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah
dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.”
Demikian jugalah kiasannya
dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya. Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia
Solat Dan Kepentingannya, Imam
Al-Ghazali berkata,
“Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi
kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan
seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh
itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di
tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah
yang mempunyai celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak
bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang
boleh mengganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada
akhirat dan dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan
Allah pada suatu hari nanti. Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak
dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia
yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan
kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan
ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi
yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi
air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan
mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul
menjadi satu. ”
JOM IKUTI
“SEMPURNAKAH SOLAT ANDA”
PADA 18
& 19 APRIL 2012
DI DEWAN
DARUL MAKMUR & DI PUSAT ISLAM SURAU AS-SYAFI’E
|
Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.
No comments:
Post a Comment